Tabung Anak Yatim

Selasa, 8 Oktober 2013

Kuih Talam Berlauk Enak

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah kali ini mendapat tempahan kuih talam berlauk udang daripada Puan Saniah untuk jamuan raya di sekolahnya. Sudah lama ustazah tidak buat kuih ini mungkin di tempat ini orang kurang mengetahui kesedapan kuih ini. Ada rasa lemak, masin, agak pedas dek kerana sedikit lada sulah dan cili merah. Boleh juga gantikan udang dengan daging atau ayam cincang

Cukup bersyukur dimaklumkan bila jamuan kuih ini yang habis dahulu dan tak cukup..maklum jarang nampak kuih ini..semoga mereka yang menikmati kuih ini gembira dan mendapat kerahmatan Allah SWT atas segala nikmatnya.

Jom kita lihat bahan-bahannya.

Talam Berlauk Udang

Bahan A
3 cawan tepung gandum
1 cawan santan pekat
4 cawan santan cair
1 sudu makan gula
1 sudu makan lada sulah
1 biji telur
1 sudu kecil garam

Adun semua bahan di atas dengan menuangkan santan berperingkat-peringkat untuk mengelakkan berbintil atau mahu mudah blenderkan lagi cepat dan gebu. Setelah siap letak pada loyang 10.5 inci . Jangan lupa oleskan loyang dengan sedikit minyak kemudian letak plastik baru dituangkan adunan..opps! Jangan lupa tinggalkan adunan anggaran secawan untuk disiramkan ke atas lauk udang yang sudah ditumis.

Bahan C

250 gm udang basah dibuang kulit dan potong kecil-kecil.
10 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
2 tangkai cili merah
1 sudu makan rempah kurma
1 sudu makan cili boh
2 sudu makan udang kering
Sedikit daun sup dan daun bawang

Gorengkan bawang merah dan bawang putih hingga keemasan. Angkat dan ketepikan.
Minyak lebihan bawang goreng digunakan untuk mengecutkan udang basah yang dipotong halus.Jangan terlalu lama agak-agak kecut angkat. Kemudian gunakan sedikit minyak untuk menumis rempah kurma, cili boh dan udang kering hingga naik minyak. Kemudian masukkan udang dan bawang goreng hingga naik bau. Sebelum matikan api masukkan lah cili merah yang potong dan daun sup serta daun bawang. Angkat dan biarkan.

Kukus adunan selama 15 minit kemudian taburkan tumisan udang dan ratakan. Kemudian tuangkan dengan adunan secawan yang kita tinggalkan tadi. Kukus selama 30 minit.Potong setelah sejuk. Boleh juga sebelum dihidang taburkan daun sup dan cili merah yang dipotong halus.

Selamat mencuba dan semoga sedap serta gembira mereka yang menikmatinya.

Subhanallah. .Ya Allah baru sahaja selesai menulis entri ini, mendapat panggilan telefon untuk tempahan kuih ini dan talam seri kaya..Alhamdulillah



Tiada ulasan:

Catat Ulasan