Tabung Anak Yatim

Jumaat, 13 September 2013

Agar- agar kelapa Konnyaku Jelly

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah kali ini mahu berkongsi resepi agar- agar yang disukai oleh rakan sejawat mahupun jiran- jiran. Rasanya yang enak, kenyal dan lemak serta terasa kelapa muda yang menyengarkan. Ramai yang menempah agar- agar ini untuk kenduri dan jamuan makan.

Kalau mahu mencuba, pastikan kelapa muda yang kita cari mempunyai isi yang tebal supaya agar-agar lebih sedap. Tetapi bila kita jarang membeli kelapa muda, kita kurang mahir menentukan kelapa muda itu berisi atau tidak.

Berikut ialah resepinya.

Agar- agar Konnyaku Jelly Kelapa

Bahan A

3 biji kelapa muda ( ambil airnya 1000ml )
1400 ml air
350 gram gula
3 gram serbuk agar-agar
10 gram serbuk konnyaku
9 sudu susu pekat manis

Bahan B

1400 ml air
350 gram gula
3 gram serbuk agar-agar
10 gram serbuk konnyaku
Sedikit pewarna hijau

Cara membuatnya :

1. Belah kelapa, airnya di ambil dan isinya diblender menggunakan air kelapa.
2. Masukkan gula, serbuk agar- agar dan serbuk konnyaku ke dalam BOTOL atau BEKAS AIR BERTUTUP dan campurkan serta sebatikan.Kemudian tuangkan air dan goncang kuat supaya serbuk konnyaku tidak berketul. Ia tidak boleh dikacau seperti biasa kerana nanti akan berketul- ketul.
3. Masak menggunakan api sederhana dan masukkan susu pekat manis.
4. Menggunakan periuk lain sediakan bahan B dan caranya adalah seperti no.2.
5. Masak guna api sederhana dan jaga selalu kerana ditakuti mengelegak kuat dan tertumpah.
6. Angkat setelah masak.

Ustazah selalunya masak serentak kedua2 bahan A dan B menggunakan periuk berasingan. Tetapi angkat dahulu masakan bahan B dan letakkan di loyang atau tupperware sehinga agak keyal sedikit dan sejuk barulah dilapis dengan masakan bahan A.

Baiklah selamat mencuba.












Roti Sosej Gebu

Bismillah dan Assalamualaikum

Subhanallah sibuk sangat nampaknya Ibu Berdikari nak update entri..minggu ini sibuk menyiapkan bekalan roti untuk koperasi sekolah dan kelas pengajian Al- Quran dengan anak- anak jiran dan anak sendiri. Terasa penatkan mengurus keluarga dan kerjaya, tidak mengapa kita niatkan untuk ibadah dan biarlah penat kita berbaloi. Walau pun hidup tanpa suami, ia bukanlah batu penghalang untuk kita menikmati kebahagiaan. Ucapkan Subhanallah , alhamdulillah dan Allahu Akbar 33 kali sebelum tidur in sha Allah hilang semua kepenatan. Itu adalah tips daripada Rasullullah.

Baiklah, kali ini Ibu Berdikari mahu berkongsi resepi Roti Sosej Gebu yang menjadi kegemaran kanak-kanak mahupun remaja malah ibu bapa jua. Rasanya yang gebu, lembut dan pedas2 sedikit menggunakan sos pizza memang tak cukup makan sebuku. Siapa yang mahu menambah pendapatan sampingan apa lagi, inilah peluang untuk kita mencuba.

Jom kita layan resepinya.

Roti Sosej Gebu.

Bahan A

170ml air
5 gram yis
45 gram gula pasir
- Bancuh bahan di atas hingga larut dan biarkan seketika hingga berbuih dan ada perubahan
pengembangan yis.

Bahan B
250 gram tepung roti
50 gram tepung gandum
1 biji telur
2.5 gram berada improver
5 gram baking powder
Secubit garam
- Satukan bahan di atas dan mula menguli dengan mencampurkan bahan A. Boleh uli dengan tangan atau menggunakan mixer.

Bahan C
10 gram planta
10 gram shortening/ lemak sayur/ vegetable oil
- campurkan pada doh yang telah siap diuli. Uli atau mesen hingga lembut dan gebu.
- Rehatkan doh hingga 30 minit dengan menutup doh hingga kembang dan naik.
- Setelah naik 2 kali ganda, menggunakan penumbuk daripada tangan kita, tumbuk doh untuk membuang angin.
- Uli seketika lagi dan bolehlah ditimbang dengan berat 50 gram sebuku.

Bahan D
- 11 batang sosej.Jika di belah 2 bolehlah gunakan 6 batang sosej sahaja.
- Sos , samada ready made atau buat sendiri.

- Buatkan doh secara memanjang agar mudah untuk dililit pada sosej.
- Susun doh pada loyang dengan sedikit jarak agar tidak melekat antara satu sama lain.
- Tunggu hingga 1 jam @  2 jam untuk mendapatkan hasil pengembangan yang baik. Bergantung pada tempat kita merehatkan doh. Jika mahu cepat mengembang letak di dalam oven yang belum dihidupkan api.
- Sebelum di bakar, letakkan sos di atas roti dan bakar menggunakan suhu 180 darjah dalam masa 15 minit bergantung pada oven masing- masing.

Adunan ini akan menghasilkan 11 biji roti sosej. Selamat Mencuba


Siap diadun


Setelah mengembang dan tumbuk dengan penumpuk tangan untuk buang angin




Uli sekali lagi


Siap untuk dibahagikan kepada 50gram


Potong doh dengan spatula


Siap dililit pada sosej


Letakkan sos dan bakar




Siap..Alhamdulillah

Khamis, 5 September 2013

Biskut Coklat Rice Mudah & Sedap

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulilah dapat juga menyiapkan biskut kegemaran anak-anak murid di sekolah. Sudah lama tidak membuat biskut ini dek kerana urusan sekolah dan kadang-kadang memenuhi tempahan kuih dan kek dari rakan-rakan. Simpanan resepi pun sudah lupa letak di mana, mohon maaf pada anak murid yang meminta resepi biskut ini, tidak berapa yakin itu yang Ustazah sanggup buat dahulu betul atau tidak .Alhamdulillah walau ingat-ingat lupa, betul resepinya kerana amat mudah dan ringkas.

Baiklah resepinya ialah

Bahan A
1 tin susu pekat manis
1 cawan koko Powder
1 cawan kelapa kelapa kering
2 sudu planta

Bahan B
200gm biskut butang
250gm coklat rice

Cara membuatnya :

1. Campurkan semua bahan A
2. Masak menggunakan api kecil sehingga adunan pekat hingga apabila diangkat dengan senduk susah untuk jatuh supaya mudah ketika sesi membulatkan nanti.
3. Angkat dan biarkan sejuk.
4. Gunakan sarung tangan plastik, bulatkan adunan kecil- kecil dan isikan dengan biskut butang serta golekkan di atas coklat rice.
5. Siap untuk dihidang atau bagi sesiapa yang mahu menjualnya bolehlah dipaking menggunakan cup cake 7 biji RM 2 atau plastik berbunga dengan harga 4 biji RM 1.


Biskut Butang yang telah disalut dengan adunan coklat


Alhamdulillah ..ini hasilnya

SELAMAT MENCUBA 

Bismillah

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah mahu mencoretkan pekongsian resepi masakan, kek dan kuih muih. Ilmu perlu dikongsi biar berkembang dan penyinar di alam yang mana ilmu bermanfaat sebagai penolong.

Keluarga Bahagia
 Ibu Berdikari di samping anak-anak


~SALAM PERKENALAN